ketika hati saya berkecamuk, fikiran tak menentu esp malam ni…saya terpanggil utk baca blog dari Fuad Latip, dah lama tak menjenguk..
ada satu artikel yg menarik perhatian saya…saya share bersama anda semua yg visit blog sya..tq en fuad…
Pengurusan Marah
Saya pernah berasa marah yang teramat sangat beberapa tahun yang dulu sehingga tahap memaki hamun dan sebagainya. Tetapi Alhamdulillah masih di dalam kawalan di mana tidak sampai bertumbuk dan bergaduh.
Itu beberapa tahun dahulu. Sehingga kini marah-marah kecil tetap ada terutama geram kepada pemandu-pemandu yang ramai tidak mempunyai EQ iaitu memahami perasaan orang lain. Dengan kata lain yang susah sangat untuk bertolak ansur.
Sesetengah orang mudah untuk marah. Ada yang sehingga tahap marah yang mampu mendorong kepada tindakan fizikal yang luar kawalan. Ini amat membimbangkan.
Marah saya banyak kepada anak (lebih kepada geram) dan pelajar. Marah pada anak bukanlah sehingga tahap menengking atau memukul. Kekadang Ia lebih kepada meninggikan sedikit suara agar anak saya akan membuat tindakan segera di dalam sesuatu perkara.
***
Marah pada pelajar adalah marah mendidik. Bukan juga berbentuk maki hamun. Hanya meninggikan suara. Namun kekadang jiwa ini dicabar dan ketika itu mampu dibatu apikan syaitan. Perasaan marah pada pelajar yang malas atau membuat kerja sambil lewa kekadang berada di tahap yang mampu mengundang tindakan fizikal seperti menghentak meja atau sehingga rasa ingin saja halau mereka keluar dari bilik saya.
Alhamdulillah, perasaan marah mampu dikawal dengan mudah dan kesannya cukup pantas untuk kembali bertenang.
***
Apakah yang biasa disarankan ketika kita sedang marah?
Bersabar? Persoalannya bukan mudah untuk bersabar. Bersabar adalah satu perasaan yang berlawanan dengan marah. Mana mungkin dalam keadaan kita marah, kita boleh bersabar. Lalu bagaimana?
Bagaimana saya mengawal kemarahan?
Saya telah membiasakan diri untuk tidak lagi melakukan “mind chat” atau bercakap dengan akal fikiran saya sendiri. Segala apa yang saya lakukan, saya fikir, saya dengar, saya rasa, saya lihat, akan saya cakapkan kepada Allah SWT.
Ketika saya marah, saya akan bercakap pada Allah segala apa yang saya rasa ketika itu. Saya tidak melawan rasa marah saya. Tetapi saya luahkan rasa marah saya pada Allah. Allah itu Maha Positif. Saya yakin dengan meluahkan rasa marah pada seseorang dengan berkomunikasi kepada Allah, Allah akan berikan kesabaran kepada saya. Saya tidak perlu melawan marah untuk sabar. Tetapi rasa sabar itu dianugerahkan Allah terus ke dalam jiwa saya dengan luahan yang saya lakukan.
Ketika memandu:
“Ya Allah, geram betullah kereta sebelah ni ya Allah. Aku dah kasi signal, dia tak nak kasi aku masuk laluan dia ya Allah. Kalau aku buat kurang ajar nanti baru dia tahu ya Allah. Takpelah ya Allahkan. Sabarjelah Ya Allah. Ya Allah, Payah kalau perangai orang jenis takde EQ ni.”
Kesannya, pasti jadi lebih sabar.
“Ya Allah, kereta ni kurang ajar betullah ya Allah. Geramnya aku ya Allah. Aku buat kurang ajar nanti baru tau. Tapi buat apa kan ya Allah. Biarlah dia ya Allah. Buat apa aku peningkan kepala fikirkan pasal dia kan ya Allah. Dia nak jadi apa, lantak dialah ya Allah”
Ketika geram dengan pelajar yang malas
“Ya Allah, kenapalah budak ni malas sangat ya Allah. Kenapalah dia ni buat kerja main-main. Dia ni malas betullah ya Allah. Aku geram kat dia ni ya Allah. Kalau ikutkan aku, aku gagalkan je ya Allah.
Malas betul dia ni ya Allah. Rasa macam nak halau je dia ni dari bilik aku ni ya Allah. Menyampah betul aku tengok muka dia ni ya Allah.
Eeeee……geramnya ya Allah. Ahhhh….lantak dialah ya Allah. Malas dah aku nak layan budak jenis yang macam ni ya Allah. Lantak dialah ya Allah nak jadi apa. Aku dah tak sanggup lagi nak tolong dia ni ya Allah. Biarlah dia ya Allah. Nak belajar ke tak nak ke, dia punya pasallah ya Allah. Aku malas dah nak pening-pening kepala jaga budak macam ni ya Allah.
Kau bantulah aku ya Allah. Kau buatlah sesuatu, kasi budak ni rajin ke, sedar diri ke. Lembab betul aku tengok dia ni ya Allah. Kasi dia ni cerdas ya Allah.“
Macam-macam saya luahkan pada Allah ketika saya marah dan geram. InshaAllah marah dan geram ketika itu akan hilang dengan cepat. Selalu yang berlaku saya akan siap mendoakan pelajar itu agar jadi rajin, sedar diri atau dengan nama lain berubah jadi pelajar yang bertanggungjawab.
***
Ketika kita marah seseorang, adalah sesuatu yang amat penting untuk kita memalingkan muka kita ke arah lain. Rasulullah SAW telah berpesan agar kita memalingkan muka kita ketika kita marah.
Kenapa? Apabila kita marah, kita berada di fikiran bawah sedar di mana fikiran tidak dapat mengawal diri. Ketika ini, jika kita marah sambil melihat muka orang yang kita marah (seperti contoh anak atau isteri/suami) kita telah menanamkan wajah mereka sebagai orang yang membuatkan kita marah tanpa disedari. Kita telah memprogramkan fikiran kita tanpa sedar.
Maka setiap kali melihat wajah mereka, walaupun pada ketika itu kita tidak marah, ia boleh membawa kita kepada perasaan marah disebabkan informasi yang telah tersimpan menyatakan bahawa kita mesti berasa marah apabila melihat wajah mereka.
Kerana itu Rasulullah SAW menasihatkan kita sejak beribu tahun yang dulu lagi untuk memalingkan muka ketika marah. Ada juga nasihat Rasulullah SAW meminta kita duduk ketika marah. Semuanya adalah berkaitan dengan otak kita.
***
Komunikasi dengan Allah mampu mententeramkan jiwa saya daripada perasaan marah disamping saya dapat mengelakkan diri dari sakit migrain atau sakit jantung.
Praktikkan komunikasi dengan Allah apa yang dilakukan, difikirkan, didengarkan, dilihat, dicakapkan dan lain-lain. Jika kita berada di dalam situasi apa pun, perkara pertama dan utama yang kita ingat adalah komunikasi dengan Allah walaupun ketika tindakan luar kawal seperti perasaan marah jika kita biasa menggantikan ‘mind chat’ kita kepada komunikasi dengan Allah.
InshaAllah.